Kesan IKEA (The Ikea Effect)

Perabot pasang-sendiri, ramuan kek segera, dan kapal terbang mainan.

Tiga benda yang berbeza, tapi mempunyai persamaan besar untuk membentuk sebuah teori psikologi kecondongan kognitif (cognitive bias) yand dikenali sebagai Kesan IKEA (The Ikea Effect).

Apakah persamaan mainan plastik, ramuan kek segera, dan perabot IKEA?

Mainan pasang sendiri oleh Airfix, United Kingdom

Pada tahun 1952, syarikat mainan Airfix membuat keputusan untuk menjual mainan-mainan mereka dalam bentuk komponen yang masih tercantum di acuan plastik. Keputusan ini dibuat untuk menjimatkan kos pengeluaran kerana mereka tidak perlu menggaji pekerja untuk memasang setiap satu mainan secara manual.

Maka berdoyong-doyonglah manusia dari kanak-kanak kepada bapa kanak-kanak terjerat dengan konsep ‘pasang-sendiri’. Saya pun tidak ketinggalan.

Sahabat yang membaca artikel ini pasti terkenang saat tangan berdarah terkena pisau semasa memotong acuan kapal terbang atau kereta lumba Tamiya Dash! Yonkuro, jari-jari yang terlekat pada gam gajah, dan saat pertama kali menggunakan cat minyak untuk memberikan keunikan pada mainan.

Ramuan Kek Segera

Pada awal 1950-an juga, suri rumah diperkenalkan satu inovasi baru yang memudahkan hidup mereka, iaitu ramuan kek segera.

Namun pada permulaannya, suri-suri rumah tidak berminat menggunakan ramuan tersebut kerana beranggapan bahawa ramuan segera ini adalah tersangat senang digunakan. Mereka risau, jika kerja memasak dijadikan terlalu mudah, maka kerja mereka yang leceh & rumit akan dipandang rendah.

Ekoran itu, pengilang ramuan kek segera lekas mengubah sedikit resipi mereka. Perubahan yang dibuat adalah mudah, iaitu resipi ramuan kek segera itu memerlukan suri rumah memasukkan sebiji telur ke dalam adunan.

Perabot pasang-sendiri IKEA

IKEA ditubuhkan oleh Ingvar Kamprad pada tahun 1943. Beliau berumur 17 tahun pada ketika itu. Ayahnya memberi sejumlah wang kerana berjaya dalam peperiksaan dan beliau menggunakan wang tersebut sebagai permulaan empayar IKEA.

Pada permulaannya, pengasas IKEA menjual pen, dompet, bingkai gambar, jam, dan juga stokin.

IKEA mula mengilang perabot sendiri pada tahun 1956 apabila pesaing-pesaing mereka memaksa para pembekal memboikot IKEA. Pada satu ketika, seorang pekerja IKEA mencabut kaki meja supaya mudah dimasukkan kedalam kereta & mengelakkan kerosakan dalam perjalanan. Sejak itu, IKEA mengukuhkan konsep flat-pack untuk memudahkan pembeli membawa balik dan memasang sendiri perabot mereka.

Jadi, apakah Kesan IKEA (The IKEA Effect)?

Apabila seseorang membeli produk yang memerlukan usaha pemasangan sendiri, nilai sesebuah produk kepada individu tersebut menjadi lebih tinggi berbanding harga beli.

Sebagai contoh, apabila seorang kanak-kanak meluangkan masa seharian untuk memasang kapal terbang mainan, atau si bapa menghabiskan masa berjam-jam memasang kabinet TV, atau si mak memasak satu kek untuk keluarga, mereka akan menghargai hasil usaha itu.

Produk yang dihasilkan oleh diri sendiri mempunyai nilai terpendam yang menjadikannya lebih berharga dan bermakna.

Inilah teori kecondongan kognitif yang digunakan oleh syarikat-syarikat besar untuk menjadikan produk mereka sebahagian daripada hidup kita semua.

Produk seperti ini bukan sekadar produk yang boleh dibeli wang ringgit, ia adalah produk yang sudah terserap usaha pemilik, menjadikannya lebih bernilai.

Inilah kereta Tamiya saya. Mungkin tayarnya senget sedikit, tapi saya tahu betulkannya. Mungkin catnya tak sama seperti cat kereta lain. Tapi ini adalah kereta saya. Saya yang buat, dan saya bangga.

Buah fikiran seorang kanak-kanak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s